Friday, May 28, 2010

Berita terkini Projek Kolej Automotif Antarabangsa di Pekan

RM31j bina ICAM


Mohamed Khaled Nordin (dua kanan) bersama Mohd. Khamil Jamil (kanan) dan Lukman Ibrahim (tiga kanan) diberi penerangan oleh pelajar Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM), Mohd Noordin Johan (kiri) ketika melawat kolej tersebut di Pekan, Pahang, semalam.


PEKAN 27 Mei - Sebanyak RM31 juta diperuntukkan untuk menubuhkan Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) di sini bagi memenuhi keperluan industri automotif negara.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, DRB-HICOM Berhad, Datuk Lukman Ibrahim berkata, penubuhan ICAM merupakan sebahagian daripada wawasan DRB-HICOM untuk menjana pekerja berketerampilan serta berpengetahuan tinggi dalam mengembangkan industri automotif di pasaran global.

''ICAM melengkapi pelajar dengan pelbagai keupayaan, baik dari segi teknologi, pembangunan insaniah supaya mereka lebih berdaya saing dan mampu menyahut cabaran masa depan.

''Setakat ini ICAM telah menerima sebanyak 75 pelajar pada kemasukan April lalu dan akan menambah sekitar 280 pelajar bagi kemasukan September ini," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan, DRB HICOM Berhad, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil dan Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pengurusan Institut Pengajian Tinggi Swasta, Datin Profesor Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Menurut Lukman, ICAM masih beroperasi di kampus sementara kerana kampus tetap yang terletak di lokasi berhampiran dijangka siap sepenuhnya pada 2012 dan mampu menampung kira-kira 3,000 pelajar.

''Ini kerana ICAM berhasrat untuk menjadi sebuah kolej tersohor dalam menyediakan pendidikan terbaik untuk mereka yang inginkan kecemerlangan dalam industri automotif.

''Pendekatan holistik dan unik ICAM dalam menggabungkan kemahiran teknikal dan praktikal serta aspek kewangan dalam perniagaan.

''Pelajar ICAM bukan sahaja akan dilengkapi dengan latar belakang latihan tetapi penyelesaian isu-isu sebenar, pendedahan semasa kerja praktikal dan asas-asas untuk mengendalikan perniagaan yang menguntungkan," jelasnya.

Sumber :http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails