Monday, June 21, 2010

Pahang Mohon Lebih Banyak Projek RMK-10

KDYMM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah percaya keadaan harmoni dan perpaduan kukuh di negeri ini membolehkan Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan wajar ke atas permohonan negeri mendapatkan lebih banyak projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Baginda bertitah, ia dapat memberi manfaat dan nilai faedah terbaik kepada rakyat, sekali gus mampu mewujudkan peningkatan positif kepada penjanaan ekonomi negeri.

“Beta dimaklumkan bahawa sebanyak 1,231 projek dengan anggaran kos RM15.6 bilion sudah dicadangkan untuk dilaksanakan dalam fasa pertama RMK-10, dan beta yakin keadaan harmoni ini membolehkan Kerajaan Pusat memberi pertimbangan,” titahnya pada perasmian Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, semalam.

Teks ucapan baginda dibacakan oleh anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Yang Dipertua DUN, Datuk Wan Mohamad Razali Wan Mahussin.

Sultan Pahang juga meminta aspek pemantapan modal insan bagi melahirkan generasi berilmu dan berakhlak dapat diperkukuhkan dengan siapnya pembinaan kampus baru
Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kuala Pahang, Pekan dan Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa di Gambang.

Malah, titahnya, penekanan dalam bidang kewangan Islam oleh Kolej Islam Sultan Ahmad Shah (Kipsas) adalah tepat selaras dengan strategi negara untuk menjadi Hab Kewangan Islam Global.
Sultan Ahmad Shah juga yakin pemulihan ekonomi negara menerusi pelbagai pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi serta tumpuan kerajaan negeri kepada projek mesra rakyat, menjana ekonomi dan projek berdasarkan nilai wang dapat membantu kerajaan negeri mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 2.4 peratus tahun ini berbanding negatif 2.9 peratus tahun lalu.

“Ia juga berkait rapat dengan pelaksanaan tujuh strategi pengukuhan ekonomi negeri yang akan dilaksanakan iaitu pengukuhan jaringan dan kemudahsampaian, pembesaran kapasiti utiliti, pemantapan modal insan, peningkatan nilai tambah sektor produktif, pelebaran jaringan sosial, peningkatan kualiti hidup dan pemantapan pelaburan swasta,” titahnya.


Sumber

Kredit to :Di Sini



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails