Sunday, December 5, 2010

Komisen RM1,000 bangkit minat Ali.

Siapa ada membaca Harian Metro keluaran Ahad?bertarikh 5 Disember 2010.Kisah suka duka seorang ejen hartanah untuk mencapai kejayaan.Saya sebelum ini pernah terdengar maklumat tentang Hamba Allah ini,malah pernah juga menonton kisah beliau dalam urus niaga lelong di saluran Astro tidak lama dahulu.
Dalam usia muda beliau sudah mencapai taraf jutawan dalam bidang hartanah,namun hakikat untuk menggengam sebuah kejayaan itu bukan sesuatu yang mudah,banyak ranjau dan onak duri yang terpaksa beliau tempuhi,mari kita sama-sama hayati kisah beliau ini yang saya petik dari laman web Harian Metro.


Karisma: Komisen RM1,000 bangkit minat Ali

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my



DI kala rakan seusianya bermain dan menikmati dunia kanak-kanak dengan riang, dia membantu bapanya yang bekerja sebagai kerani sekolah melakukan kerja sampingan di kedai makan bagi menambah pendapatan keluarga.

Tidak terlintas dalam fikiran untuk menolak, apatah lagi sejak kecil dia dididik oleh ayahnya bahawa anak lelaki perlu bekerja keras jika mahu mendapatkan sesuatu.

Seawal usia 10 tahun, dia bekerja di kedai basikal, malah apabila menjangkau 12 tahun dia menjadi kedi bahkan pernah mengendong set golf seberat 20 kilogram kerana mahu memiliki kasut roda roller blade dan basikal.



“Itu semua saya anggap sebagai permulaan sebelum menjadi seperti sekarang,” kata pemilik nama Mohd Ali Abdul Majis, 27, yang lebih mesra disapa Ali.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aliy Property Advisors Sdn Bhd ini, dia tidak pernah menyesal tidak menikmati zaman kanak-kanak dan remajanya seperti rakan lain apabila perlu bekerja bagi mendapatkan wang membayar yuran persekolahan selepas tamat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


“Gara-gara sibuk bekerja, keputusan UPSR kurang memberangsangkan dan sebagai hukuman ayah menyuruh saya membayar yuran persekolahan sendiri selain membeli kelengkapan sekolah, termasuk beg dan kasut sekolah.

“Mujur wang yang diperlukan cukup, kalau tidak mungkin saya tidak masuk tingkatan satu,” katanya berseloroh.

Sejak itu, apabila tiba musim cuti sekolah Ali pasti bekerja bagi meringankan beban keluarga. Setiap pendapatan diperoleh digunakan sebaik-baiknya bagi menampung perbelanjaan dan membeli barangan keperluan sendiri.

Selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ali ditawarkan menyambung pengajian di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Paling membanggakan, dia menggunakan wang simpanan sendiri sewaktu sesi pendaftaran tanpa meminta bantuan orang tuanya.

Bagi terus memperoleh pendapatan sampingan, tahun pertama di universiti, Ali membuat kerja sambilan dengan menjual unit hartanah hasil peluang diberi bapa saudaranya.

“Tahu sajalah, bekerja sambil belajar memerlukan komitmen tinggi. Meskipun letih, saya seronok apabila berjaya menjual seunit hartanah dengan komisen mencecah RM1,000.

“Bermula daripada situ, saya dapati perniagaan hartanah mempunyai masa depan dan potensi cemerlang jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tahun kedua pengajian, dia mendapat berita kurang enak apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberhentikan pembiayaan pinjamannya atas sebab tertentu.

“Saya tiada pilihan melainkan berhenti belajar kerana sedar keluarga tidak mampu membayar sejumlah wang memandangkan adik-adik masih bersekolah.

“Memang terkilan, sebab cita-cita sejak kecil mahu bergelar usahawan berjaya dan tidak mahu bekerja makan gaji,” luah bapa kepada seorang cahaya mata perempuan ini.

Selepas berhenti belajar, Ali pulang ke kampung halamannya dan bekerja sebagai operator di kilang benang yang terletak di Dengkil.

Tidak lama selepas itu, bapa saudaranya memberi modal membuka perniagaan sendiri bersama tiga sepupunya. Perniagaan kedai komputer yang diusahakan mendatangkan hasil, namun hanya bertahan enam bulan akibat tiada persefahaman antara mereka.

Disebabkan minat belajar masih tinggi, Ali memohon menyambung pengajian semula di Kolej Ikram, Bangi. Masih dalam jurusan perniagaan, dia berharap dapat menghabiskan pengajian sebelum bergelar siswa dan membuka perniagaan sendiri.

Pada masa sama, dia memulakan perniagaan menggunakan wang simpanannya dengan membuka perniagaan kedai telefon bimbit di samping membeli kedai mencuci kereta daripada seorang rakan yang tidak mendapat sambutan.

“Sama seperti sebelumnya, perniagaan telefon bimbit juga tidak bertahan lama, sebaliknya perniagaan mencuci kereta mendapat sambutan hangat selepas bertukar pemilik.

“Namun, lumrah manusia tidak boleh melihat kejayaan orang lain. Akibat hasad dengki, bekas pemilik kedai mencuci kereta berkenaan mahu memilikinya semula,” katanya.

Menurut Ali, tanpa disedari ada pekerjanya yang juga adik kepada bekas pemilik kedai itu secara senyap memberitahu abangnya mengenai keuntungan syarikat serta mempengaruhinya supaya mengambil semula kedai itu.

“Apabila tidak dapat secara baik, mereka menggunakan cara kasar dengan menghantar sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan besi untuk menyerang saya.

“Insiden itu menyebabkan saya cedera parah di kepala akibat ditetak dan ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua bulan,” katanya mengimbau semula peristiwa berdarah itu.

Selepas kejadian itu, Ali tidak dapat meneruskan pengajiannya yang hanya tinggal dua semester akibat kecederaan selain tiada pendapatan selepas kedainya ditutup. Selepas sembuh, Ali ditawarkan kerja di syarikat hartanah milik bapa saudaranya di Jalan Yap Kwan Seng sebagai budak penghantar surat.

Polisi sebagai anak saudara dan bapa saudara tiada dalam pejabat itu, sebaliknya hubungan antara pekerja dan majikan seperti yang lain.

Dengan gaji permulaan RM700, dia menggunakan peluang itu sebaik-baiknya dengan mempelajari selok-belok bidang hartanah bagi mencapai cita-cita bergelar ahli perniagaan berjaya.

Sedar gaji tidak mencukupi untuk hidup di kota besar, Ali membuat kerja sambilan dengan menampal poster dan notis sekitar ibu negara pada hujung minggu.

“Selepas berjaya menjual beberapa unit hartanah, saya tidak menoleh ke belakang lagi apabila pendapatan diperoleh di luar jangkauan.

“Macam tidak percaya, tapi itulah kebenaran. Mungkin berkat melalui pelbagai ujian getir dan tidak pernah putus asa di samping doa yang tidak pernah putus daripada keluarga,” katanya.




PROFIL
NAMA: Mohd Ali Abdul Majis
UMUR: 27 tahun
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kajang, Selangor
ASAL: Kajang, Selangor
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Aliy Group Of Companies, Aliy Property Advisors Sdn Bhd, Aliy Net Sdn Bhd, Aliy Auction House Sdn Bhd, Aliy Hotel and Resort Sdn Bhd
ISTERI: Nurul Ain Ruslan
ANAK: Nurfarisah Mirza Mohd Ali (2)


kredit to Harian Metro

Selagi kita berusaha dan terus mencuba,kejayaan pasti akan kita miliki.

2 comments:

  1. semoga dia menjadi sumber inspirasi kepada kita semua.

    ReplyDelete
  2. betul tu tuanbri..cth anak melayu yang berjaya..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails